Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim
membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula
membina Kaabah setelah Allah S.W.T menunjukkan kepada mereka tempat
yang harus dibina Baitullah itu.
Ada dua riwayat yang
mengatakan bahawa Allah S.W.T meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina
oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, tapak Baitullah tidak terkena bala
bencana taufan sewaktu taufan besar melanda.
Satu riwayat lagi
mengatakan bahawa tapak Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar
sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa
taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang lain yang
mulakan pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.
Nabi
Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim
menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip batu-batu besar
seperti yang difirman oleh Allah S.W.T yang bermaksud, "Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan
(tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata,
Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya
Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui." (surah al-Baqarah ayat
127).
Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail,
menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim
dan membina Baitullah sehingga ia siap pembinaannya. Maka dengan
kehendak Allah S.W.T sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di
batu besar itu, maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana
dapat kita melihatnya sehingga hari ini dekat Baitullah. Dan ini adalah
suatu tanda kebesaran Allah S.W.T.
Apabila agama Islam
datang, Allah S.W.T mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang maqam
Ibrahim sepertimana firman Allah yang bermaksud, "Dan jadikanlah oleh
kamu maqam Ibrahim itu tempat sembahyang." (surah al-Baqarah ayat 125).
Yang dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim.
Setelah
selesai pembinaan Baitullah, maka Allah S.W.T memerintahkan Nabi
Ibrahim memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di
Baitullah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud, "Dan serulah umat manusia
untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah
Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta
yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang
jauh." (surah al-Haj ayat 27).
Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke
gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung yang paling dekat dengan
baitullah dan di sana beliau memanggil dengan nama Allah, "Wahai
sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya
bagi kamu, oleh itu hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana."
Nabi
Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri seolah-olah orang melaungkan
azan. Allah S.W>T menyampaika seruan Nabi Ibrahim a.s pada setiap
orang yang diciptakan dalam bacaan talbiah dan itulah pernyataan semua
orang yang mengerjakan fardhu haji, kerana haji itu tidak akan sah
tanpa talbiah.
Bacaan talbiah antara lainnya, "Labbaikallahhummalabbaik" yang bermakna, aku datang untuk menunaikan panggilan-Mu ya Allah.
Menunaikan
haji adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah kita
menunaikannya apabila kita sudah mampu melaksanakannya. Banyak orang
menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari menunaikan haji yang
sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang yang melakukan maksiat
lebih teruk dari masa sebelum menunaikan haji. Oleh itu, hendaklah kita
mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya menunaikan haji.
Kalau
kita menunaikan haji tanpa mengerjakan sembahyang lima waktu maka
sia-sia sahaja haji yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh
Allah S.W.T. Dan ini adalah salah satu punca mereka yang kembali dari
menunaikan haji melakukan bermacam-macam maksiat.
Bagi
mereka yang mendapat kenikmatan haji mereka ini tidak akan berani
melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah S.W.T sebaliknya mereka
akan berusaha untuk menjadi muslim yang sempurna. Tanpa mengerjakan
sembahyang, maka semua kerja-kerja yang berbentuk amal, sedekah, zakat
dan sebagainya semuanya itu tidak akan diterima oleh Allah S.W.T.
0 comments:
Posting Komentar